Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang
tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan
mereka.
"Tolonglah encik, saya lapar, sejak
semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil
menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis
itu.
Dalam hatinya berkata "Aku membina
perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan
keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya
walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.
Beberapa
tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi
miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya
turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik
itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
Pada
suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan,
tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan.
Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan
sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.
Setelah
memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka
sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah
bekas suamiya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.
Suami yang baru itu menjawab dengan tenang. "Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".
Cerita
ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak
selalunya diatas. Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik
semula atau sebaliknya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".
Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud :
"Barang
siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang
siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang
siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".
No comments:
Post a Comment