BELUM terlambat untuk aku mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, yang diumumkan baru-baru ini. Kejayaan SPM yang diperolehi pada tahun ni adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Keputusan itu, sekali gus bakal menyaksikan persaingan sengit untuk mendapat tempat di pusat pengajian tinggi, terutama jurusan kritikal yang popular di kalangan pelajar cemerlang, seperti bidang perubatan.
Diperingkat kebangsaan, sekolah yang dipilih terbaik bagi keseluruhan ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban yang dulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER).
Kepada semua pelajar cemerlang , mereka harus ingat bahawa kecemerlangan dalam SPM bukan penentu segala-galanya dan menjamin kejayaan mereka di peringkat universiti. Oleh itu mereka tidak boleh leka dalam meraikan kejayaan masing-masing kerana cabaran lebih besar menanti mereka apabila berada di institusi pengajian tinggi nanti sehingga memperoleh ijazah.
Cabarannya cukup berbeza berbanding ketika mereka mengikuti pelajaran di sekolah menengah kerana di sinilah mereka harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran lain sebagai persiapan menghadapi alam kerjaya selepas itu.
Kecemerlangan pelajar bukan saja diukur dari segi akademik kerana akademik semata-mata belum tentu boleh lahir sebagai modal insan berjaya untuk memenuhi keperluan industri apabila bergelar graduan kelak. Pelbagai faktor yang menentukan kejayaan seseorang pelajar yang bergelar mahasiswa termasuk kemampuan menguasai bahasa Inggeris yang sering ditekankan kebelakangan ini.
Mereka tidak harus mengetepikan langsung kegiatan kokurikulum dan tidak hanya memberi tumpuan kepada akademik semata-mata. Ramai pelajar sebelum ini yang memperoleh keputusan cemerlang di peringkat SPM, tetapi apabila berada di pusat pengajian tinggi, mereka gagal menyerlah kerana tidak pandai menyesuaikan diri, tidak berkeyakinan, kurang bergaul dan berkomunikasi dengan pelajar lain.
Kepada pelajar yang kurang cemerlang pula, mereka harus bersikap positif dan jangan mudah menyerah kalah dan kecewa. Mereka masih mempunyai peluang untuk bangkit dan mencipta kejayaan pada masa depan. Mereka harus mencontohi ramai individu yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi tanpa mempunyai kelulusan akademik yang tinggi dengan menggunakan kelebihan lain yang dimiliki seperti bakat serta kemahiran tertentu.
No comments:
Post a Comment